Rasulullah S.A.W. adalah seorang motivator
yang agung. Kelahiran Rasulullah S.A.W. telah membawa cahaya kepada masyarakat arab
jahiliyah. Sebelum kelahiran baginda, kehidupan bangsa arab ketika itu adalah
sangat gelap, pelbagai kesalahan dilakukan oleh bangsa arab pada ketika itu.
Dengan kehidupan bangsa arab jahiliah yang
penuh dengan kesesatan, bukan mudah untuk membentuk semula perpaduan dikalangan
umat. Namun Nabi Muhammad S.A.W. mampu membentuk perpaduan umat bangsa arab
dalam menerapkan motivasi islam dalam hati mereka.
Perubahan-perubahan besar mampu dilakukan
oleh baginda adalah melalui gaya motivasi baginda. Gaya motivasi baginda adalah
sangat berkesan sehingga para sahabat sentiasa bersemangat dan sentiasa bermotivasi
di dalam kehidupan mereka. Para sahabat yang menghadapi masalah, kelesuan jiwa
dan kekurangan motivasi pasti menemui Rasulullah S.A.W. untuk mendapatkan motivasi
daripada baginda.
Begitu hebatnya junjungan mulia Nabi
Muhammad S.A.W. dalam memotivasi para sahabat. Dari mana kehebatannya?
Sesungguhnya Allah S.W.T. meninggikan kemuliaan Rasulullah S.A.W. dengan
menyampaikan wahyuNya melalui malaikatNya Jibril A.S. melalui wahyu dari Allah
S.W.T baginda menggunakannya dalam memotivasikan para sahabatnya.
Dalam kalam Allah, terdapat ganjaran dan
balasan, sungguh kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. sangat bertuah kerana
sehingga kini ayat-ayat Allah itu terpelihara dalam Al-Quran. Al-Quran menjadi
pegangan umat Islam sejak wahyu pertama diturunkan sehingga kini.
Dalam Al-Quran terdapat ganjaran dan
balasan daripada Allah, dalam ayat-ayat Al-Quran itulah yang menjadi sumber
utama Nabi Muhammad S.A.W. untuk memotivasikan para sahabat. Dengan mengunakan
konsep pahala dan dosa, balasan syurga dan neraka memberi dorongan kepada para sahabat melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan sehingga mampu membentuk umat
islam yang taat dan yakin kepada Allah.
Dengan ketaatan dan keyakinan kepada Allah
maka Nabi Muhammad S.A.W. mampu membentuk motivasi yang baik kepada para
sahabatnya pada ketika hayat baginda dahulu. Dan kini peninggalan Al-Quran
kepada kita umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad S.A.W. masih mampu memberi
motivasi kepada kita walaupun baginda telah lama meninggalkan kita.
Daripada ayat Al-Quran dalam surah Al-Ahzab
ayat 21
“Demi
sesungguhnya untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu
untuk mereka yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada
hari akhirat, serta mereka pula menyebut dan mengingati Allah dengan banyaknya
pada masa susah dan senang.”
(Al-Ahzab
33:21)
Daripada surah Al-Ahzab ini, Nabi Muhammad
S.A.W. adalah teladan utama kita sebagai umatnya, sebagai teladan kita, umatnya
terdahulu mengambil setiap percakapan dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W.
ditulis dalam bentuk hadis. Dan kini Al-Quran dan Hadis telah menjadi rujukan
utama kita dalam menjalani kehidupan dan memotivasi diri kita.
Dalam hadis, Rasulullah S.A.W. memberi
dorongan dan memotivasikan umatnya supaya menerima dan berpegang kepada
Al-Quran dan mengikut setiap apa yang dilakukan baginda. Kesemua tindakan yang
dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. adalah perbuatan yang diilhamkan Allah kepada
RasulNya. Kerana setiap perbuatan Rasulullah S.A.W. adalah ibadah berdasarkan dalil. Ini bermaksud
segala gerakan daripada Rasulullah S.A.W.
harus ditiru atau dicontohi sepenuhnya, kerana kaedah ibadah yang
terbaik berpunca daripada baginda.
Di sini SyurgaHati akan berkongsi beberapa
contoh motivasi yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam memotivasikan
umatnya melalu Al-Quran dan Hadis.
Melalui Al-Quran
Wahyu diturunkan adalah peranan yang sangat
besar bagi membantu motivator agung Nabi Muhammad S.A.W. Salah satu ayat Al-Quran yang membantu baginda
dalam memotivasikan para sahabatnya agar para sahabat sentiasa dalam motivasi
dan mengekalkannya hingga tahap cermerlang adalah melalui ayat 100 dalam surah
At-Taubah
“Orang-orang
terdahulu dan yang pertama masuk islam dalam kalangan Muhajirin dan Ansar dan
orang yang mengikuti mereka dengan baik,
Allah redha kepada mereka dan mereka pula redha kepada Allah dan Allah
menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya.
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itu adalah kemenangan yang besar”
(At-Taubah
9 : 100)
Perkataan yang disebut Allah dalam wahyu
yang berbentuk motivasi berterusan kepada baginda dan sahabatnya melalui
kalimah, “Allah redha, Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang
mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya dan
itu adalah kemenangan yang besar.” Ayat ini menjadi sumber motivasi yang hebat
kepada para sahabat supaya terus berada disamping Rasulullah S.A.W. walaupun
pelbagai cabaran yang perlu ditempuh oleh para sahabat dalam menegakkan Islam. Begitu
hebatnya ayat Al-Quran yang diturunkan kepada baginda dalam memotivasikan para
sahabat baginda.
Melalui Hadis
Direkodkan daripada Abu Hurairah,
Arab Badwi dari pendalaman bertemu nabi
kemudian dia berkata, “ajarkan kepada saya perbuatan yang sekiranya saya
melaksanakannya, akan membawa diri saya ke syurga.”
Rasulullah S.A.W. kemudian berkata, “beribadah
kepada Allah, dirikan solat wajib, bayar zakat dan berpuasa pada bulan
ramadhan.”
Orang Arab Badwi itu mengatakan, “demi Allah yang menguasai diri saya, saya tidak akan
mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.”
Semasa orang Arab Badwi itu berlalu pergi, Nabi berkata, “siapa yang ingin melihat penghuni
syurga, lihat orang itu.”
(Hadis ini direkodkan dalam sahih Bukhari,
Kitab Zakat, no. hadis : 1397)
Daripada hadis ini, baginda memberikan
jawapan kepada orang Arab Badwi dengan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan
bagi mendapatkan syurga. Perkara yang disebutkan oleh baginda bukanlah
ibadah-ibadah tambahan tetapi adalah perkara yang termasuk dalam rukun islam. Perkataan orang Arab Badwi itu “demi Allah yang menguasai diri saya, saya tidak akan
mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.” Jelas menunjukan orang Arab Badwi itu teruja dengan ganjaran syurga apabila dia Berjaya melaksanakan
tanggungjawab sebagai muslim. Dan pada kenyataan Rasulullah S.A.W. pada penghujung
hadis, “siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihat orang itu.” Menunjukan
Rasulullah S.A.W. memberikan motivasi kepada para sahabat yang menyaksikan
perbualan baginda dengan orang Arab Badwi tadi untuk memperlihatkan penghuni
syurga jika berjaya melaksanakan tanggungjawab muslim walau hanya melakukan
ibadah fardhu.
Gaya motivasi Rasulullah adalah sangat
berkesan kepada para sahabatnya, malah hasil daripada cara baginda
memotivasikan umat sebelum kewafatan baginda, melahirkan umat islam hari ini. Beruntunglah
kita kerana kita hadir daripada usaha motivator terulung Nabi Muhammad S.A.W. Semoga
kita sentiasa termotivasi dengan peninggalan baginda iaitu Al-Quran dan Hadis.
SyurgaHati : Berpeganglah kepada Al-Quran
dan Hadis agar kita menjadi umat Muhammad yang berjaya di dunia hingga ke
syurga Allah. Janganlah kita terus menjadi kerisauan baginda yang mana sehingga
hujung hayat baginda, baginda masih lagi melafazkan, umatku… umatku… umatku…