Sunday 24 March 2013

Nikmati Hidup Dengan Syukur


Lihat diri kita hari ini, pada ketika ini, ketika kita membaca ini… LIHAT…
Bagaimana kamu melihat pada ketika ini… sudah tentu menggunakan mata bukan.
Manfaatkan mata kita… lihat perkara yg elok, jauhkan melihat perkara yang dilarang.
Nikmati kemampuan melihat, syukuri penglihatan dengan melihat perkata manfaat.
Nikmati deria penglihatan, gunakan untuk menjalani kehidupan sempurna…
Inilah sebahagian cara nikmati kehidupan dengan kesyukuran…

Banyak cara untuk kita bersyukur sama ada dengan lafaz syukur mahupun melakukan perbuatan-perbuatan yang menunjukan rasa syukur. Bersyukur dengan kesihatan, pada ketika kita sihat ini kita manfaatkan kesihatan yang ada sebaik-baiknya.

Pada ketika kita sakit nanti, saat itu baru kita sedari bertapa pentingnya kesihatan, pada ketika sakit itu juga baru kita sedar bertapa syukurnya dengan kesihatan yang baik. Tidak perlu untuk kita merasa sakit dahulu baru bersyukur dengan kesihatan. Kehidupan amat merugikan jika ketika kita sihat tidak dimanfaatkan kesihatan itu sebaik-baiknya.

Nikmati kehidupan kita dengan manfaatkan kesihatan sebagai tanda kita bersyukur. Manfaatkan kesihatan dengan beramal ibadat dengan cara yang optimum, perbanyakan amalan ketika sihat kerana pada ketika sakit pergerakan kehidupan kita mungkin agak terbatas.

Syukur dengan hati iaitu memanfaatkan kenikmatan yang diberi, sentiasa mengingati nikmat itu adalah pemberianNya. Syukur dengan perbuatan iaitu melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dengan menggunakan anggota badan sesuai dengan fungsinya. Syukur dengan lisan iaitu melafazkan rasa syukur dan sentiasa memuji kebesaran Allah.

Hayati firmanNya yang bermaksud :

“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepada kamu.
Bersyukurlah kepadaKu, dan jangan kamu ingkar kepadaKu.”
(Surah Al-Baqarah 2 : 152)


Mensyukuri Kelahiranmu (KLIK)
Nikmat Bertambah Nikmat (KLIK)


SyurgaHati : Mensyukuri nikmat kehidupan dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Dengan bersyukur kita sedar segala nikmat adalah pemberianNya yang Maha Penyayang Pemberi Rahmat. Bersyukur membentuk hati yang sentiasa akui kebesaran Ilahi, mangakui kasih sayang Pemberi.

Thursday 14 March 2013

Mensyukuri Kelahiranmu


Syukur Alhamdulillah kita dipanjangkan usia… kita masih lagi diberi kesempatan untuk melalui kehidupan ini… ingat kembali saat kita dilahirkan, ketika itu kita disambut dengan penuh kesyukuran. Ibu bapa kita gembira dengan kelahiran kita. Syukuri dengan nyawa yang diberikan kepada kita. Manfaatkan kelahiran kita di dunia ini untuk peroleh kebaikan di akhirat.

Bersyukurlah… daripada benih kasih sayang ibu bapa kita, lahirlah kita hari ini. Saat penyatuan benih, kita adalah yang bertuah. Walau asalnya kita kotor, kita dilahirkan sebagai bayi yang suci bersih. Syukuri kelahiran kita.  Roh telah ditiupkan saat kita masih dalam kandungan, kasihnya Allah kepada kita sejak kita di dalam kandungan lagi. Nyawa atau roh adalah pemberian yang amat bernilai, tanpanya kita tiada gunanya… syukurilah… ingat! kita semua diciptakanNya, maka bersyukurlah kepadaNya.

“DIALAH YANG MENCIPTAKAN KAMU dari jiwa yang satu (Adam) dan daripadanya Dia ciptakan pasangannya, agar dia berasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, (isterinya) mengandugkan kandungan yang ringan, dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian apabila dia merasa berat, keduanya (suami-isteri) memohon kepada Allah, Tuham mereka (seraya berkata), “jika Engkau memberi kami anak yang soleh , tentulah kami akan selalu bersyukur.”
(Surah Al-A’raf 7 : 189)

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran untuk mengingatkan kita tetang penciptaan kita. Kita diciptakan Allah untuk beribadat kepadaNya. Syukuri kelahiran kita dengan menjadi hambaNya yang beriman, soleh solehah lalu menempah tempat di syurgaNya. Syurga juga dicipta untuk hamba-hambaNya yang bersyukur. Maka, bersyukurlah… nyatakan rasa berterima kasih kepadaNya, membalas budi atas rahmatNya dengan manfaatkan pemberianNya, berbaktilah dan patuhlah kepadaNya. Bersyukur atas nyawa yang diberikan dengan meningkatkan kualiti ibadat, bersabar dan beristighfar kepadaNya. Sentiasalah bersyukur pasti dibalasNya.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Allah akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.”
(Surah Ibrahim 14 : 7)



SyurgaHati : Semoga kita sentiasa diberkati Allah, sentiasa dalam rahmatNya dan dalam perlindunganNya… semoga kita sentiasa diteguhkan iman dan sentiasa tenang menghadapi ujian-ujianNya… Bersyukurlah dengan kelahiranmu… Insya’Allah akan sentiasa ada pertolonganNya kepada orang-orang yang bersyukur. 

Tuesday 12 March 2013

Nikmat Bertambah Nikmat


Nikmat anugerah terindah daripada Allah… daripada nikmatNya kita merasai kesenangan, keindahan, kemudahan dalam kehidupan kita. Terlalu banyak nikmatNya, terlalu banyak anugerahNya. Orang yang beriman akan sentiasa mengucap syukur, sentiasa bertahmid ‘Alhamdulillah’ di setiap kesenangan, kegembiraan, kebahagian yang diperolehnya.

Sebagai seorang hamba yang sentiasa diberikan nikmat perlu sentiasa mengucap ‘Alhamdulillah’ sebagai tanda terima kasih kepada Pemberi Nikmat. Bertahmid adalah lafaz yang sangat disukaiNya. Dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ itu, Dia tahu hambaNya tengah memujiNya dan menghargai segala pemberianNya. SifatNya yang Maha Pemurah akan menggandakan nikmat kepada hambaNya yang bersyukur.

Allah berfirman dalam ayatNya yang bermaksud :

“Allah tidak akan menyeksamu jika kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah Maha Mensyukuri (memberi pahala terhadap amal hambaNya, memaafkan kesalahannya, menambah nikmatNya), lagi Maha Mengetahui (keadaan hambaNya).”
(Surah An-Nisa’ 4 : 147)

Nikmat bertambah nikmat adalah tanda kasih sayang dan rahmatNya kepada mereka yang bersyukur. Selayaknya mereka yang mengucapkan ‘Alhamdulillah’ditambah nikmatnya agar terus menerus bertahmid ‘Alhamdulillah’. Orang beriman tidak akan berhenti daripada bersyukur. Kesyukuran hambaNya yang soleh tidak pernah habis malah sentiasa berterusan.

Puji-pujian yang terus menerus menunjukan ketaatan seorang hamba yang terus menerus. Allah menyayangi hamba-hambaNya yang taat. Maka sungguh beruntunglah jika kita terus menerus mengucap syukur kepadaNya. Kesyukuran tidak hanya pada lafaz, kesyukuran juga boleh diterjemahkan dengan tindakan perbuatan. Makanya, berterus-terus beramal ibadat dengan menfaatkan anggota badan sebaik-baiknya sebagai tanda kita bersyukur.



SyurgaHati : Jadilah hambaNya yang terus-menerus bersyukur. Tampilkan diri kita sebagai hambaNya yang taat dengan sentiasa memujiNya, dengan sentiasa beramal ibadat. Manfaatkan setiap apa yang diberiNya. NikmatNya tidak akan terhenti selagi kita terus mensyukurinya.

Friday 8 March 2013

Bicara Tentang SYUKUR


Syukur… Terlalu banyak bicara syukur di dalam Al-Quran… apabila sering diulang-ulang syukur dalam kalam Allah, ini bermakna pentingnya syukur dalam islam. Antara bicara syukur dalam Al-Quran

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada rezeki yang baik yang Kami berikan kepada kamu dan BERSYUKURLAH kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah  2 : 172)

“Katakanlah, “Dialah yang mencipta kamu dan menjadikan pendengaran , penglihatan dan hati nurani bagi kamu. (tetapi) Sedikit sekali kamu BERSYUKUR.”
(Surah Al-Mulk 67 : 23)

“Dan ingatlah ketika kamu (para muhajirin) masih (berjumlah) sedikit, lagi tertindas di bumi (Mekah), dan kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu, maka Dia memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikanNya kamu kuat dengan pertolonganNya dan diberikanNya kamu rezeki yang baik agar kamu BERSYUKUR.”
(Surah Al-Anfal 8 : 26)

“Dan adalah kerana rahmatNya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirehat di malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaanNya (pada siang hari) dan agar kamu BERSYUKUR kepadaNya.”
(Surah Al-Qasas 28 : 73)

Syukur menunjukan kita akui segala kenikmatan kebaikan, segala yang terjadi adalah dari pemberianNya yang Maha Pemurah. Banyak perkara yang perlu kita syukuri dalam kehidupan, banyak juga cara untuk kita bersyukur. Yang sering kita lakukan adalah dengan lafaz syukur. Lafaz syukur yang kita lakukan sebagai tanda kita berterima kasih kepadaNya.



SyurgaHati : Menjadi hamba biarlah menjadi hambaNya yang selalu bersyukur. Banyak nikmat yang diberikanNya, malulah kalau kita menjadi hambaNya yang tidak bersyukur. Bersyukur mendidik jiwa yang lalai, membentuk hati menjadi lebih cantik.