Sunday 1 June 2014

Menikmati Lebih Terasa Dengan Mensyukuri



Nikmat orang kaya dengan nikmat orang miskin berbeza perasaan nikmatnya. Bagi yang berharta, RM 50 tidak terasa besar nilainya. Bagi yang kurang berharta, RM 50 terasa besar nilainya. RM 50 bagi orang kaya mungkin habis dalam sehari. Tetapi tidak dengan orang miskin, RM 50 terasa sayang untuk dibazirkan, digunakan RM 50 dengan sangat berhati-hati.

Namun, bagi mereka sentiasa mensyukuri nikmat Allah RM 50 dirasa sama sahaja tanpa kira miskin atau kaya. Golongan miskin akan mensyukuri rezeki RM 50 dan mengunakanya sebaik-baiknya begitu juga dengan golongan kaya, jika mereka sentiasa mensyukuri rezeki, mereka juga akan menggunakan RM 50 itu dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan pembaziran.

Mereka yang sentiasa bersyukur akan memandang nikmat walau sekecil mana pun rezeki yang mereka perolehi. Mereka melihat nikmat Allah itu besar walaupun yang mereka perolehi itu hanya sedikit. Mereka yang sentiasa bersyukur ini lebih menumpukan kepada nikmat, kesannya mereka tidak akan berasa susah atau sukar dengan dugaan malah sentiasa berasa cukup dan sentiasa mensyukuri setiap pemberian Allah.

Jiwa mereka yang sentiasa bersyukur ini tenang dan damai kerana mereka tidak melihat rezeki atau nikmat yang sedikit sebagai satu bebanan atau kekurangan malah mereka lebih tertumpu kapada nikmat bukan melihat banyak atau sedikit. Mereka ini bahagia walaupun nikmat itu sedikit malah mereka tidak merungut. Mereka mampu merasakan nikmat yang sedikit itu adalah nikmat terbesar daripada Allah s.w.t.

“Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar dari Allah dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman.”
( Surah Ali-Imran : 171 )

Nikmat yang mereka perolehi dihargai membuatkan jiwa mereka terbiasa dengan rasa syukur dan kesusahan yang diperoleh dianggap perkara biasa yang tidak perlu dirungutkan. Walaupun nikmat yang mereka diperolehi sedikit, mereka mudah bersyukur dan mudah menemui nikmat sebenar.  Imam Ali r.a. ada menyebut

“Salah satu ciri orang yang bertakwa adalah mereka itu berasa puas dengan pemberian yang sedikit. Mereka berasa senang dan bersyukur dengan pemberian yang kecil dan sedikit, apatah lagi pemberian yang besar dan banyak.”

Rasa syukur itu sendiri memberikan tambahan nikmat yang sungguh besar. Yang kecil terasa besar, yang sedikit terasa banyak. Yang besar menjadi semakin besar, yang banyak menjadi melimpah ruah. Rahmat Allah kepada mereka yang besyukur adalah kebahagian.  Mereka bahagia dengan apa sahaja yang mereka perolehi dari Allah s.w.t.

Berbeza dengan mereka yang tidak bersyukur, mereka tidak rasa bahagia kerana sentiasa rasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang mereka ada. Kekayaan dan kebahagia sebenar tidak boleh diukur dengan harta yang ada tetapi diukur pada syukur yang ada di dalam hati dan dinilai dalam jiwa yang sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah s.w.t.

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman iaitu, “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
( Surah Luqman : 12 )


SyurgaHati : Bersyukurlah... jadikan syukur sentiasa subur di dalam hati. Orang yang bersyukur adalah orang yang paling bahagia, hatinya tenang, jiwanya tenteram. Mensyukuri nikmat yang Allah berikan membuat nikmat yang sedikit terasa hebat, yang sedikit terasa cukup. Nikmat yang banyak hanya menambah syukur bukan menambah kufur, itulah orang yang sentiasa mensyukuri dan menghargai pemberiai Ilahi.

No comments:

Post a Comment