Saturday 14 December 2013

Pesanan Istimewa Untuk Wanita



Wahai gadis... jadilah gadis dan wanita cantik berperibadi tinggi.
Percayalah bahawa Allah s.w.t. tidak pernah mensia-siakan setiap ciptaanNya.
ALLAH SWT juga tidak pernah mensia-siakan setiap kebaikan hambaNya.

Wahai gadis... peliharalah kesucian diri sebaiknya. Persembahkan diri yang terbaik buat bakal suami. Moga-moga rumah tangga yang dibina nanti menjadi mahligai yang paling indah dan bakal menjadi jambatan menuju syurga yang abadi.

Wahai wanita... kamu adalah hambaNya yang terpilih. Jadi, usahlah sia-siakan keistimewaan tersebut. Apabila semua asas islam telah berjaya disemat dan diamalkan, Insya’Allah... kamu akan membesar sebagai wanita yang baik.

Istimewanya dirimu wahai wanita...

Sungguh dirimu adalah insan ciptaan Allah yang PALING MAHAL kerana kamu memiliki mutiara tersembunyi yang tidak dapat dijual beli, itulah HARGA DIRI...
Jika HARGA DIRI itu dipertahankan, kamu tersangat mulia.
Maka jangan diperdagangkannya, HARGAINYA... (^_^)

Wahai wanita ciptaan mulia Ilahi, jagalah harga diri dan berusahalah menjadi wanita solehah. Allah s.w.t. sudah ada janjiNya. BayaranNya besar bersifat abadi, tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga malah tidak pernah terlintas di dalam fikiran. Besar ganjaranNya... itulah nikmat syurgaNya. Sesungguhnya hanya Allah yang sangat mengetahui.

Wanita yang dikagumi adalah wanita yang bijak menjaga harga diri dengan cara melindungkan aurat di sebalik pakaian takwanya. Allah s.w.t menetapkan aurat wajib ditutup, maka itu adalah ujian untuk wanita sama ada mahu taat atau sebaliknya. Jika taat, ALHAMDULILLAH... tetapi jika tidak, tentulah Allah murka. Wahai wanita, taatlah dengan suruhan Allah s.w.t kerana ada kebaikan daripadaNya.

Wahai wanita... ingatlah selalu, pandangan lelaki banyak maksudnya. Lelaki yang baik atau lelaki yang tidak baik, masing-masing melihat kamu dengan cara yang berbeza.

Tutuplah auratmu bukan hanya menutup seluruh tubuhmu, tetapi juga menutup bentuk tubuhmu...

Jagalah penampilan dan gaya pergaulanmu, bersolek boleh tetapi biar tidak berlebihan, bergaul boleh tetapi biar ada batasan...

Hiasi diri sekadar sejuk mata yang memandang, tampilkan perwatakan yang sopan melalui cara berpakaian, elakan bersolek secara berlebihan hingga mengubah total wajah semula jadi kamu ciptaanNya.

Wahai wanita... hendak melawa boleh, tidak salah mengikuti perkembangan semasa dalam dunia fesyen, cuma pastikan pakaian tidak menjolok mata dalam erti kata tidak jarang, tidak ketat dan tidak terbelah. Tudung pula hendaklah menutup keseluruh rambut, leher dan dada. INGAT ya, bahagian dada itu banyak fitnahnya jika dilihat lelaki. WANITA HARUS BERWASPADA...!

"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)."

(Surah Al-A’raf 7 : 26)

Perempuan khususnya tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan yang Allah s.w.t. kurniakan. Lalu kamu pergunakan kecantikan itu untuk apa? Fikir-fikirlah sahabat... kamu cantik, maka bersyukurlah.


Menutup aurat boleh menjadi perisai untuk menjaga maruah dan diri kamu. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.

Islam bukan agama anti-sosial. Malah bersosial amat digalakkan dengan syarat-syarat tertentu yang bertujuan menjaga kemuliaan umat itu sendiri. Allah s.w.t. berfirman dalah surah Al hujurat ayat 13 yang bermaksud :

“wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Duhai wanita...

Bentengkan dirimu dengan perasaan malu ketika bersosial. Tidak kiralah dengan siapa, jadikanlah rasa malu itu tonggak utama. Lagipun dirimu itu seorang perempuan. Sampai bila-bila pun seorang perempuan akan dinilai melalui perasaan malunya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan perempuan yang pemalu membuktikan dirinya ada iman.

Perempuan solehah tidak melakukan perbuatan mazmumah(tercela). Jangan kalian mencemarkan agama sendiri. Ingatlah... kita hidup dua kali, di atas dunia Allah berikan nyawa untuk menjadi hamba yang soleh solehah. Di dunia ke dua menikmati perbuatan mahmudah(terpuji) di syurga yang nikmatnya tidak diduga. Kamu boleh menjadi wanita solehah.



SyurgaHati : Allah s.w.t. itu Maha pemaaf dan Maha Mengetahui. Dia sentiasa membuka pintu rahmatNya kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan tabiat baik. Tabiat baik hendaklah selalu diamalkan, barulah boleh berakar umbi dalam jiwa. Insya’Allah kamu boleh menjadi wanita terpelihara, wanita solehah, bidadari syurga. (^_^)