Saturday 10 May 2014

Mohon Kepada Maha Penolong







Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong, maka mohonlah pertolongan hanya kepadaNya dalam melaksanakan segenap tanggung jawab terhadapNya, nescaya Allah akan menolong kita. Hal ini amat bertepatan dengan firman Allah yang maksudnya :

“Dan kepada Engkau sahaja (ya Allah) kami mohon pertolongan.”
( Surah Al-Fatihah : 5 )

Mohonlah selalu kepadaNya supaya kita dianugerahkan hidayah dan taufik daripadaNya (sebagai bekalan yang amat berguna dalam hidup kita di dunia dan akhirat. Hal ini juga sering diulang dalam solat setiap muslim lelaki dan perempuan.

“Tunjukkan kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang  yang telah Engkau beri nikmat ke atas mereka dan bukannya jalan orang yang Engkau benci (yahudi) dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat lagi menyesatkan (nasrani/kristian).”
( Surah Al-Fatihah : 6 – 7 )

Mohonlah kemantapan iman kepada Allah, agar kita dicintai di sisiNya dan kita dapat merasakan kemanisan iman dan menjadikan iman itu indah di dalam diri kita. Allah s.w.t. menjelaskan : 
 
"Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan 
menjadikan iman itu indah di dalam hati kamu."
( Surah Al Hujurat : 7 )


Bertawakal (berserah) hanya kepada Allah, pasti Dia akan mencukupkan segala tuntutan hidup kita. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud :

"Sesiapa yang bertawakal hanya kepada Allah, nescaya 
Allah akan cukupkan segala keperluannya"
( Surah At-Talaq : 3 )


Berdoalah hanya kepada Allah, kita mesti yakin bahawa sesungguhnya Allah tidak sekali-kali alpa terhadap apa yang kita lakukan, jadikanlah Dia sentiasa mengawasi kita di waktu pagi dan petang. Allah ada menyebut :

"Dan Allah sekali-kali tidak alpa dari apa yang kamu lakukan"
( Surah Al-baqarah : 74 )

Sahabat, perlu diketahui dan selalu mengingati bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Bertapa hati kita menghendaki untuk berdekatan dengan siapa yang kita cintai. Betapa hati kita begitu ingin untuk berdekatan dengan sesiapa yang mampu melindungi diri kita, siapa lagi kalau bukan Allah Yang Maha Kuasa. Cintai Allah, ternyata sifat sabar membuat Allah bersama kita, dalam firmanNya :

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."
( Surah Al-Baqarah : 153 )

Melalui solat dan sabar, kita mempunyai keperibadian yang tenang dan kita akan mampu berfikir dengan lebih telus pada akhirnya akan memperbesarkan lagi peluang untuk menemui jalan keluar dan mempercapatkan pula datangnya pertolongan Allah



SyurgaHati : Solatlah siang dan malam… kerana dalam solat kita banyak berdoa… berdoalah hanya kepada Allah, sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-hambaNya… solat dan berdoa menunjukkan kita hambaNya yang taat kepadaNya… ganjaran orang yang taat adalah ketenangan dalam hati, syurga di dalam hati dan balasan syurga yang sangat indah, mempersona, penuh dengan kedamaian dan kasih sayang… sungguh syurga di akhirat adalah balasan orang-orang yang taat, beriman, dan beramal soleh tanda kasihNya kepada hamba-hambaNya.