Sunday 29 June 2014

Inspirasi 1 Ramadhan



Di bulan Ramdhan yang mulia ini kita mulakan dengan lebih mendekati Allah s.w.t. dan lebih mengenali Allah s.w.t. agar Ramadhan kali ini penuh dengan berkatNya. Ingatlah Allah, firmanNya yang bermaksud :

“Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, 
nescaya Aku pula akan sentiasa ingat akan kamu.”

( Surah Al-Baqarah : 152 )

Usahakan diri kita sentiasa bersama Allah (dalam setiap tindakan dalam hidup), pasti Allah juga sentiasa bersama kita. Siapa yang Allah bersamanya pasti dia akan dipelihara (dari segala bentuk mara bahaya yang mengugat kehidupan). Allah s.w.t. menjelaskan :

“Allah berfirman: janganlah kamu berdua (Nabi Musa dan Nabi Harun) takut dan bimbang sesungguhnya Aku bersama dengan kamu berdua, 
Aku Mendengar dan Melihat.”

( Surah Taha : 46 )

Dekati Allah, Dia lah yang akan memberikan ketenangan di dalam hati kita, kedamaian di dalam jiwa kita. Kenali Allah, agar Ramadhan kali ini lebih penuh bermakna dan merasai kehambaan kepadaNya. Amalan yang penuh dengan kehambaan membuat amalan itu penuh barakah.

“Dan Allah sekali-kali tidak alpa dari apa yang kamu lakukan.”

( Surah Al-Baqarah : 74 )

Berkat daripada Allah s.w.t. membuat semua amalan tidak berakhir di bulan Ramadhan malah kalian akan seronok untuk meneruskan amalan itu selepas bulan ramadhan. Semoga bulan Ramdhan kali ini memulakan segala kebaikan dalam hidup kita. permulaan yang baik dan penuh berkat memberi banyak kebaikan pada masa-masa akan datang.


SyurgaHati : Jadikan inspirasi 1 Ramadhan sebagai pemankin beramal ibadat. Kita sering katakan bulan Ramadhan bulan mulia yang penuh berkat, dan kita selalu meningkatkan amalan di bulan Ramadhan kerana ganjarannya yang berlipat ganda. Apalah kiranya menjadikan inspirasi ramadhan ini pada bulan-bulan lain untuk selalu dekat dengan Allah s.w.t.

Sunday 8 June 2014

Tersenyumlah Dengan Rahmat ALLAH


Perjalanan kehidupan...
kamu akan temui pelbagai ujian...
Mungkin ujian berupa dalam dugaan kebaikan yang menyenangkan
atau
Mungkin ujian yang berupa dalam dugaan keburukan yang tidak menyenangkan...

Ketahuilah,
Setiap keburukan turut disertakan bersama kebaikan
dan
Setiap kebaikan turut disertakan bersama keburukan...
Andai kebaikan kamu terima,
Mohonlah dilindungi daripada keburukan...
Andai keburukan yang kamu terima,
Lihatlah sisi kebaikan yang disertakan bersama dengan keburukan yang kamu hadapi...

Allah berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."
( Surah Asy-Syarh : 6 )


FirmanNya lagi :
"Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap."
( Surah Asy-Syarh : 8 )


Usah bersedih sahabat...
Ketika ini Allah melihat kamu
Ketika ini Allah tahu kesulitan kamu
Allah ingin melihat usaha kamu
Allah ingin melihat kesabaran kamu
Allah nantikan doa kamu
Kamu nantikanlah kebaikan di sebalik kesabaran kamu
Ingat, ALLAH BERSAMA ORANG YANG SABAR
Tersenyumlah dengan rahmat Allah


SyurgaHati : Rahmat Allah untuk hamba-hambaNya, di setiap keburukkan disertakan bersama kebaikan, di setiap kebaikan disertakan bersama keburukkan agar hambaNya beringat dan bersederhana dengan apa yang diberiNya dan menjadi hambaNya yang sering bersyukur.

Sunday 1 June 2014

Menikmati Lebih Terasa Dengan Mensyukuri



Nikmat orang kaya dengan nikmat orang miskin berbeza perasaan nikmatnya. Bagi yang berharta, RM 50 tidak terasa besar nilainya. Bagi yang kurang berharta, RM 50 terasa besar nilainya. RM 50 bagi orang kaya mungkin habis dalam sehari. Tetapi tidak dengan orang miskin, RM 50 terasa sayang untuk dibazirkan, digunakan RM 50 dengan sangat berhati-hati.

Namun, bagi mereka sentiasa mensyukuri nikmat Allah RM 50 dirasa sama sahaja tanpa kira miskin atau kaya. Golongan miskin akan mensyukuri rezeki RM 50 dan mengunakanya sebaik-baiknya begitu juga dengan golongan kaya, jika mereka sentiasa mensyukuri rezeki, mereka juga akan menggunakan RM 50 itu dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan pembaziran.

Mereka yang sentiasa bersyukur akan memandang nikmat walau sekecil mana pun rezeki yang mereka perolehi. Mereka melihat nikmat Allah itu besar walaupun yang mereka perolehi itu hanya sedikit. Mereka yang sentiasa bersyukur ini lebih menumpukan kepada nikmat, kesannya mereka tidak akan berasa susah atau sukar dengan dugaan malah sentiasa berasa cukup dan sentiasa mensyukuri setiap pemberian Allah.

Jiwa mereka yang sentiasa bersyukur ini tenang dan damai kerana mereka tidak melihat rezeki atau nikmat yang sedikit sebagai satu bebanan atau kekurangan malah mereka lebih tertumpu kapada nikmat bukan melihat banyak atau sedikit. Mereka ini bahagia walaupun nikmat itu sedikit malah mereka tidak merungut. Mereka mampu merasakan nikmat yang sedikit itu adalah nikmat terbesar daripada Allah s.w.t.

“Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar dari Allah dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman.”
( Surah Ali-Imran : 171 )

Nikmat yang mereka perolehi dihargai membuatkan jiwa mereka terbiasa dengan rasa syukur dan kesusahan yang diperoleh dianggap perkara biasa yang tidak perlu dirungutkan. Walaupun nikmat yang mereka diperolehi sedikit, mereka mudah bersyukur dan mudah menemui nikmat sebenar.  Imam Ali r.a. ada menyebut

“Salah satu ciri orang yang bertakwa adalah mereka itu berasa puas dengan pemberian yang sedikit. Mereka berasa senang dan bersyukur dengan pemberian yang kecil dan sedikit, apatah lagi pemberian yang besar dan banyak.”

Rasa syukur itu sendiri memberikan tambahan nikmat yang sungguh besar. Yang kecil terasa besar, yang sedikit terasa banyak. Yang besar menjadi semakin besar, yang banyak menjadi melimpah ruah. Rahmat Allah kepada mereka yang besyukur adalah kebahagian.  Mereka bahagia dengan apa sahaja yang mereka perolehi dari Allah s.w.t.

Berbeza dengan mereka yang tidak bersyukur, mereka tidak rasa bahagia kerana sentiasa rasa tidak cukup dan tidak puas dengan apa yang mereka ada. Kekayaan dan kebahagia sebenar tidak boleh diukur dengan harta yang ada tetapi diukur pada syukur yang ada di dalam hati dan dinilai dalam jiwa yang sentiasa bersyukur dengan pemberian Allah s.w.t.

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman iaitu, “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
( Surah Luqman : 12 )


SyurgaHati : Bersyukurlah... jadikan syukur sentiasa subur di dalam hati. Orang yang bersyukur adalah orang yang paling bahagia, hatinya tenang, jiwanya tenteram. Mensyukuri nikmat yang Allah berikan membuat nikmat yang sedikit terasa hebat, yang sedikit terasa cukup. Nikmat yang banyak hanya menambah syukur bukan menambah kufur, itulah orang yang sentiasa mensyukuri dan menghargai pemberiai Ilahi.

Saturday 10 May 2014

Mohon Kepada Maha Penolong







Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong, maka mohonlah pertolongan hanya kepadaNya dalam melaksanakan segenap tanggung jawab terhadapNya, nescaya Allah akan menolong kita. Hal ini amat bertepatan dengan firman Allah yang maksudnya :

“Dan kepada Engkau sahaja (ya Allah) kami mohon pertolongan.”
( Surah Al-Fatihah : 5 )

Mohonlah selalu kepadaNya supaya kita dianugerahkan hidayah dan taufik daripadaNya (sebagai bekalan yang amat berguna dalam hidup kita di dunia dan akhirat. Hal ini juga sering diulang dalam solat setiap muslim lelaki dan perempuan.

“Tunjukkan kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang  yang telah Engkau beri nikmat ke atas mereka dan bukannya jalan orang yang Engkau benci (yahudi) dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat lagi menyesatkan (nasrani/kristian).”
( Surah Al-Fatihah : 6 – 7 )

Mohonlah kemantapan iman kepada Allah, agar kita dicintai di sisiNya dan kita dapat merasakan kemanisan iman dan menjadikan iman itu indah di dalam diri kita. Allah s.w.t. menjelaskan : 
 
"Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan 
menjadikan iman itu indah di dalam hati kamu."
( Surah Al Hujurat : 7 )


Bertawakal (berserah) hanya kepada Allah, pasti Dia akan mencukupkan segala tuntutan hidup kita. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud :

"Sesiapa yang bertawakal hanya kepada Allah, nescaya 
Allah akan cukupkan segala keperluannya"
( Surah At-Talaq : 3 )


Berdoalah hanya kepada Allah, kita mesti yakin bahawa sesungguhnya Allah tidak sekali-kali alpa terhadap apa yang kita lakukan, jadikanlah Dia sentiasa mengawasi kita di waktu pagi dan petang. Allah ada menyebut :

"Dan Allah sekali-kali tidak alpa dari apa yang kamu lakukan"
( Surah Al-baqarah : 74 )

Sahabat, perlu diketahui dan selalu mengingati bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Bertapa hati kita menghendaki untuk berdekatan dengan siapa yang kita cintai. Betapa hati kita begitu ingin untuk berdekatan dengan sesiapa yang mampu melindungi diri kita, siapa lagi kalau bukan Allah Yang Maha Kuasa. Cintai Allah, ternyata sifat sabar membuat Allah bersama kita, dalam firmanNya :

"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."
( Surah Al-Baqarah : 153 )

Melalui solat dan sabar, kita mempunyai keperibadian yang tenang dan kita akan mampu berfikir dengan lebih telus pada akhirnya akan memperbesarkan lagi peluang untuk menemui jalan keluar dan mempercapatkan pula datangnya pertolongan Allah



SyurgaHati : Solatlah siang dan malam… kerana dalam solat kita banyak berdoa… berdoalah hanya kepada Allah, sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-hambaNya… solat dan berdoa menunjukkan kita hambaNya yang taat kepadaNya… ganjaran orang yang taat adalah ketenangan dalam hati, syurga di dalam hati dan balasan syurga yang sangat indah, mempersona, penuh dengan kedamaian dan kasih sayang… sungguh syurga di akhirat adalah balasan orang-orang yang taat, beriman, dan beramal soleh tanda kasihNya kepada hamba-hambaNya.