Wednesday 8 August 2012

Tawakal, Tidak Perlu Khuatir Dengan Kekurangan


Setiap manusia ada kelemahan dan ada kekuatan. Kelemahan dan kekurangan biasanya menjadi penghalang untuk kita berusaha. Dengan kelemahan dan kekurangan itu menyebabkan kita tidak yakin pada diri, malah kita merasakan seolah-olah mustahil untuk mencapai hasilnya walau kita telah berusaha. Janganlah kita lupa, Allah ada bersama kita. Allah akan membantu kita jika kita berusaha. Mungkin mustahil bagi kita, tetapi tidak mustahil bagi Allah.

Orang yang yakin kepada Allah, tidak pernah merasa risau dengan had-had tertentu dalam diri mereka malah dia sentiasa tenang ketika berusaha dan tidak khuatir dengan kesudahannya. Dia akan bertawakal dalam setiap apa yang dia usahakan dan mempercayai sepenuhnya kepada Allah bukan pada usahanya atau pada kemampuannya.

Terhadnya kemampuan kita bukalah bermakna sebagai penghalang untuk kita mencuba dan berusaha. Kita perlu mencuba dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Bertawakallah kepadaNYA, Insya’Allah kesudahannya tidak seperti yang kita sangka, boleh jadi kita tersenyum dengan kesudahanya.

Sebuah kisah yang boleh kita jadikan teladan, agak menarik kisah ini, moga kisah ini menjadi pemangkin untuk kita yakin kepada Allah dan terus bertawakal kepadaNYA supaya kita tidak khuatir dengan kelemahan kita yang mungkin menjadi penghalang untuk kita terus berusaha.

Abbas Asisi seorang pemuda yang baru selesai pendidikan menengahnya, Abbas Asisi ditanya oleh Hasan Al-Banna seorang pemimpin organisasi Ikhwanul Muslimin mengenai perancan Abbas Asisi.

Hassan Al-Banna : mengapa kamu tidak mencuba untuk memasuki bidang ketenteraan?

Abbas Asisi menjawab :

“Saya punya masalah dengan mata dan saya rasa saya tidak boleh lulus dalam ujian menembak”

“tak apa, bertawakallah pada Allah.” kata Syeikh Al-Banna

“bagaimana saya akan bertawakal pada Allah sementara saya mengetahui ada masalah dengan mata saya” Abbas Asisi menjawab.

“justeru itu, bertawakallah pada Allah, kalau matamu sihat, mungkin kamu bertawakal kepada matamu” balas Syeikh Al-Banna.

Abbas Asisi mengikut saranan Al-Banna, dia memohon memasuki bidang ketenteraan. Di saat menjalani latihan menembak, hatinya kembali diliputi keresahan. Tetapi dia ingat pesan Al-Banna. Maka dia pun berusaha dengan gigih dan menyerahkan segala-galanya pada Allah. ternyata dia lulus sebagai peserta terbaik dalam ujian menembak.

...

Satu pengajaran penting , Syeikh Al-Banna mengingatkan Abbas Asisi bahawa jika matanya sihat, boleh jadi dia akan bertawakal pada matanya dan bukan pada Allah.

Manusia sering lupa, ketika mereka dalam keadaan baik dan berkemampuan, mereka sering lupa bahawa apa yang berjaya dilakukannya merupakan hasil daripada usaha dan kemampuannya belaka. Mereka lupa bahawa Allah menentukan segala sesuatu.

No comments:

Post a Comment