Saturday 8 December 2012

Beristighfar Amalan Terpuji


Beristighfar adalah menjadi amalan kepada orang-orang beriman, istighfar juga telah menjadi amalan dan tradisi manusia terpilih termasuk para nabi. Banyak kisah-kisah nabi dalam AL-Quran yang beristighfar kepada Allah. Sungguhpun kita manusia biasa, rahmat Allah itu luas untuk hamba-hambanya. Kita tetap mendapat nikmat dariNya. Para nabi sentiasa memohon keampunan kepada Allah, sentiasa beristighfar kepada Allah. Mereka melakukan semata-mata untuk mendapat redha daripada Allah sungguhpun para nabi ini telah memang dijanjikan syurga pada mereka.

Nabi Adam beristighfar kerana rasa bersalah, baginda mengucapkan kata-kata penyesalan dan baginda mohon keampunan (Al-A’raf 7:23)

Nabi Nuh mengharap pengampunan Allah selepas baginda bertanya tanpa ilmu (Hud 11:47)

Nabi Dawud juga pernah tersungkur dan minta keampunanNya (Shaad 38:24)

Nabi Sulaiman meminta keampunan dan kerajaan (Shaad 38:35)

Nabi Musa menyedari kesalahannya memukul orang Israel kerana membela kaumnya (Al-Qasas 28:16)

Setelah anak-anak Nabi Yaakub melukai hati ayahandanya mereka membuang Nabi Yusuf ke dalam hutan, kemudian pada hari Nabi Yusuf menjadi Raja Mesir, anak-anak Nabi Yaakub meminta maaf. Nabi Yaakub bukan hanya memaafkan anak-anaknya yang mengecewakannya; baginda bahkan memohon keampunan untuk mereka (Yusuf 12:98)

Selepas Azar, ayahanda Ibrahim menyakiti anaknya dengan merejam, Nabi Ibrahim tidak membalas dengan tindakan kejahatan yang serupa, sebaliknya baginda memohonkan keampunan untuk ayahnya (Maryam 19: 46-47)

Beristighfar merupakan amalan terpuji yang menjadi kegemaran para malaikat seperti yang disebutkan dalam Al-Quran surah Ghafir ayat 7

“(malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada disekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta memohonkan keampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berkata), “Ya tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada padaMu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan(agama)Mu dan peliharalah mereka dari azab neraka”
(Ghafir 40:7)

SubhanAllah, sungguh terpujilah orang-orang yang beristighfar sehingga para malaikat mendoakannya. Insya’Allah, walaupun kita manusia biasa banyakan beristighfar seperti para nabi moga kita peroleh rahmat berkat doa daripada para malaikat.



SyurgaHati: Astaghfirullahal’azim… Astaghfirullahal’azim… Astaghfirullahal’azim… moga kita menjadi hamba yang sentiasa berada dalam jalan lurusNya, moga Allah ampunkan dosa kita dan membimbing kita ke jalan menuju ke SyurgaNya…

No comments:

Post a Comment