Wednesday 23 January 2013

Motivasi Gaya Rasulullah


Rasulullah S.A.W. adalah seorang motivator yang agung. Kelahiran Rasulullah S.A.W. telah membawa cahaya kepada masyarakat arab jahiliyah. Sebelum kelahiran baginda, kehidupan bangsa arab ketika itu adalah sangat gelap, pelbagai kesalahan dilakukan oleh bangsa arab pada ketika itu.

Dengan kehidupan bangsa arab jahiliah yang penuh dengan kesesatan, bukan mudah untuk membentuk semula perpaduan dikalangan umat. Namun Nabi Muhammad S.A.W. mampu membentuk perpaduan umat bangsa arab dalam menerapkan motivasi islam dalam hati mereka.

Perubahan-perubahan besar mampu dilakukan oleh baginda adalah melalui gaya motivasi baginda. Gaya motivasi baginda adalah sangat berkesan sehingga para sahabat sentiasa bersemangat dan sentiasa bermotivasi di dalam kehidupan mereka. Para sahabat yang menghadapi masalah, kelesuan jiwa dan kekurangan motivasi pasti menemui Rasulullah S.A.W. untuk mendapatkan motivasi daripada baginda.

Begitu hebatnya junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. dalam memotivasi para sahabat. Dari mana kehebatannya? Sesungguhnya Allah S.W.T. meninggikan kemuliaan Rasulullah S.A.W. dengan menyampaikan wahyuNya melalui malaikatNya Jibril A.S. melalui wahyu dari Allah S.W.T baginda menggunakannya dalam memotivasikan para sahabatnya.

Dalam kalam Allah, terdapat ganjaran dan balasan, sungguh kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. sangat bertuah kerana sehingga kini ayat-ayat Allah itu terpelihara dalam Al-Quran. Al-Quran menjadi pegangan umat Islam sejak wahyu pertama diturunkan sehingga kini.

Dalam Al-Quran terdapat ganjaran dan balasan daripada Allah, dalam ayat-ayat Al-Quran itulah yang menjadi sumber utama Nabi Muhammad S.A.W. untuk memotivasikan para sahabat. Dengan mengunakan konsep pahala dan dosa, balasan syurga dan neraka memberi dorongan kepada para sahabat melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan sehingga mampu membentuk umat islam yang taat dan yakin kepada Allah.

Dengan ketaatan dan keyakinan kepada Allah maka Nabi Muhammad S.A.W. mampu membentuk motivasi yang baik kepada para sahabatnya pada ketika hayat baginda dahulu. Dan kini peninggalan Al-Quran kepada kita umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad S.A.W. masih mampu memberi motivasi kepada kita walaupun baginda telah lama meninggalkan kita.

Daripada ayat Al-Quran dalam surah Al-Ahzab ayat 21

“Demi sesungguhnya untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu untuk mereka yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, serta mereka pula menyebut dan mengingati Allah dengan banyaknya pada masa susah dan senang.”
(Al-Ahzab 33:21)

Daripada surah Al-Ahzab ini, Nabi Muhammad S.A.W. adalah teladan utama kita sebagai umatnya, sebagai teladan kita, umatnya terdahulu mengambil setiap percakapan dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. ditulis dalam bentuk hadis. Dan kini Al-Quran dan Hadis telah menjadi rujukan utama kita dalam menjalani kehidupan dan memotivasi diri kita.

Dalam hadis, Rasulullah S.A.W. memberi dorongan dan memotivasikan umatnya supaya menerima dan berpegang kepada Al-Quran dan mengikut setiap apa yang dilakukan baginda. Kesemua tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. adalah perbuatan yang diilhamkan Allah kepada RasulNya. Kerana setiap perbuatan Rasulullah S.A.W.  adalah ibadah berdasarkan dalil. Ini bermaksud segala gerakan daripada Rasulullah S.A.W.  harus ditiru atau dicontohi sepenuhnya, kerana kaedah ibadah yang terbaik berpunca daripada baginda.

Di sini SyurgaHati akan berkongsi beberapa contoh motivasi yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam memotivasikan umatnya melalu Al-Quran dan Hadis.


Melalui Al-Quran

Wahyu diturunkan adalah peranan yang sangat besar bagi membantu motivator agung Nabi Muhammad S.A.W.  Salah satu ayat Al-Quran yang membantu baginda dalam memotivasikan para sahabatnya agar para sahabat sentiasa dalam motivasi dan mengekalkannya hingga tahap cermerlang adalah melalui ayat 100 dalam surah At-Taubah

“Orang-orang terdahulu dan yang pertama masuk islam dalam kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang  yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pula redha kepada Allah dan Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itu adalah kemenangan yang besar”
(At-Taubah 9 : 100)

Perkataan yang disebut Allah dalam wahyu yang berbentuk motivasi berterusan kepada baginda dan sahabatnya melalui kalimah, “Allah redha, Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya dan itu adalah kemenangan yang besar.” Ayat ini menjadi sumber motivasi yang hebat kepada para sahabat supaya terus berada disamping Rasulullah S.A.W. walaupun pelbagai cabaran yang perlu ditempuh oleh para sahabat dalam menegakkan Islam. Begitu hebatnya ayat Al-Quran yang diturunkan kepada baginda dalam memotivasikan para sahabat baginda.


Melalui Hadis

Direkodkan daripada Abu Hurairah,

Arab Badwi dari pendalaman bertemu nabi kemudian dia berkata, “ajarkan kepada saya perbuatan yang sekiranya saya melaksanakannya, akan membawa diri saya ke syurga.”

Rasulullah S.A.W. kemudian berkata, “beribadah kepada Allah, dirikan solat wajib, bayar zakat dan berpuasa pada bulan ramadhan.”

Orang Arab Badwi itu mengatakan, “demi Allah yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.”

Semasa orang Arab Badwi itu berlalu pergi, Nabi berkata, “siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihat orang itu.”

(Hadis ini direkodkan dalam sahih Bukhari, Kitab Zakat, no. hadis : 1397)

Daripada hadis ini, baginda memberikan jawapan kepada orang Arab Badwi dengan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan bagi mendapatkan syurga. Perkara yang disebutkan oleh baginda bukanlah ibadah-ibadah tambahan tetapi adalah perkara yang termasuk dalam rukun islam. Perkataan orang Arab Badwi itu “demi Allah yang menguasai diri saya, saya tidak akan mengerjakan lebih daripada ibadat-ibadat itu.” Jelas menunjukan orang Arab Badwi itu teruja dengan ganjaran syurga apabila dia Berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Dan pada kenyataan Rasulullah S.A.W. pada penghujung hadis, “siapa yang ingin melihat penghuni syurga, lihat orang itu.” Menunjukan Rasulullah S.A.W. memberikan motivasi kepada para sahabat yang menyaksikan perbualan baginda dengan orang Arab Badwi tadi untuk memperlihatkan penghuni syurga jika berjaya melaksanakan tanggungjawab muslim walau hanya melakukan ibadah fardhu.

Gaya motivasi Rasulullah adalah sangat berkesan kepada para sahabatnya, malah hasil daripada cara baginda memotivasikan umat sebelum kewafatan baginda, melahirkan umat islam hari ini. Beruntunglah kita kerana kita hadir daripada usaha motivator terulung Nabi Muhammad S.A.W. Semoga kita sentiasa termotivasi dengan peninggalan baginda iaitu Al-Quran dan Hadis.



SyurgaHati : Berpeganglah kepada Al-Quran dan Hadis agar kita menjadi umat Muhammad yang berjaya di dunia hingga ke syurga Allah. Janganlah kita terus menjadi kerisauan baginda yang mana sehingga hujung hayat baginda, baginda masih lagi melafazkan, umatku… umatku… umatku…

No comments:

Post a Comment