Tuesday, 12 March 2013

Nikmat Bertambah Nikmat


Nikmat anugerah terindah daripada Allah… daripada nikmatNya kita merasai kesenangan, keindahan, kemudahan dalam kehidupan kita. Terlalu banyak nikmatNya, terlalu banyak anugerahNya. Orang yang beriman akan sentiasa mengucap syukur, sentiasa bertahmid ‘Alhamdulillah’ di setiap kesenangan, kegembiraan, kebahagian yang diperolehnya.

Sebagai seorang hamba yang sentiasa diberikan nikmat perlu sentiasa mengucap ‘Alhamdulillah’ sebagai tanda terima kasih kepada Pemberi Nikmat. Bertahmid adalah lafaz yang sangat disukaiNya. Dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ itu, Dia tahu hambaNya tengah memujiNya dan menghargai segala pemberianNya. SifatNya yang Maha Pemurah akan menggandakan nikmat kepada hambaNya yang bersyukur.

Allah berfirman dalam ayatNya yang bermaksud :

“Allah tidak akan menyeksamu jika kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah Maha Mensyukuri (memberi pahala terhadap amal hambaNya, memaafkan kesalahannya, menambah nikmatNya), lagi Maha Mengetahui (keadaan hambaNya).”
(Surah An-Nisa’ 4 : 147)

Nikmat bertambah nikmat adalah tanda kasih sayang dan rahmatNya kepada mereka yang bersyukur. Selayaknya mereka yang mengucapkan ‘Alhamdulillah’ditambah nikmatnya agar terus menerus bertahmid ‘Alhamdulillah’. Orang beriman tidak akan berhenti daripada bersyukur. Kesyukuran hambaNya yang soleh tidak pernah habis malah sentiasa berterusan.

Puji-pujian yang terus menerus menunjukan ketaatan seorang hamba yang terus menerus. Allah menyayangi hamba-hambaNya yang taat. Maka sungguh beruntunglah jika kita terus menerus mengucap syukur kepadaNya. Kesyukuran tidak hanya pada lafaz, kesyukuran juga boleh diterjemahkan dengan tindakan perbuatan. Makanya, berterus-terus beramal ibadat dengan menfaatkan anggota badan sebaik-baiknya sebagai tanda kita bersyukur.



SyurgaHati : Jadilah hambaNya yang terus-menerus bersyukur. Tampilkan diri kita sebagai hambaNya yang taat dengan sentiasa memujiNya, dengan sentiasa beramal ibadat. Manfaatkan setiap apa yang diberiNya. NikmatNya tidak akan terhenti selagi kita terus mensyukurinya.

No comments:

Post a Comment